Random

Khamis, 29 September 2011

Setiap Manusia Akan Merasainya.

Penulis: Suhili bin Nain.

Tanah Perkuburan Baqi di Madinah
Keadaan di tanah perkuburan Wak-wak yang biasanya lengang kini dihadiri pengunjung. Nampaknya ada penghuni baru yang menghuni tanah perkuburan ini. Selepas selesai mengkebumikan jenazah Abdullah yang baru meninggal semalam, di bahagian atas tanah perkuburan Wak-wak, penduduk kampung yang terlibat pun mula mengatur langkah menuruni anak tangga ke kaki bukit. Ini kerana, tanah perkuburan Wak-wak terletak dikawasan bukit.

            "Macam banyak pula orang meninggal sekarang ni kan Pak Man." Tanya Amin kepada lelaki yang sedang berjalan berdekatannya. Pada wajahnya lelaki itu jelas kelihatan jalur-jalur usia yang sudah semakin lanjut.

            "Ya, Min." Jawab Pak Man yang sedang memikul cangkul yang digunakan untuk mengorek kubur tadi, di bahunya. "Sudah takdir Allah s.w.t, kita sebagai hamba-Nya kena terima ketentuan-Nya."

            "Ya Pak Man." Amin dengan nada yang muram. Pengalaman pertama kali menggali kubur, membuatkannya berfikir dan merenung tentang nasib dirinya. Hari ini dia menggali kubur untuk orang lain, mungkin esok, orang lain pula akan menggali kubur untuknya.

Aziz yang berjalan di belakang Pak Man dan Amin mempercepatkan sedikit langkahnya. Ingin turut serta dalam perbualan Amin dan Pak Man.

"Terkenal juga abang Abdullah ni ya, Pak Man." Kata Aziz. Kagum melihat orang ramai yang pergi ke pengkebumian Abdullah. "Ramai sangat orang, lain daripada biasa. Tak pernah saya lihat depan mata ramai orang ziarah pengkebumian macam ni."

"Ya. Ramai itu memang ramai. Tapi sayangnya, tidak ramai yang dapat mengambil iktibar daripadanya." Pak Man melontarkan kata-katanya. Kata-kata yang diluahkan daripada pengalaman yang sudah lama terkumpul.

"Maksud Pak Man?" Amin mengerut dahi. Bajunya yang dibasahi peluh ketika menggali kubur tadi sudah semakin kering.

"Ramai daripada kita melihat orang meninggal dunia, menziarahi kematian. Tapi dia seakan-akan lupa dengan kematian. Melihat orang lain meninggal dunia, tidak membuatkannya terfikir atau merenung untuk bersedia menghadapi kematian dirinya. Amalnya tidak bertambah, dia tetap hanyut dengan dunia." Jawab Pak Man sambil tertunduk. Kelihatan daripada raut wajah Pak Man kebimbangan dan kegusaran. Bimbang memikirkan nasib dirinya yang sudah semakin tua. Tentu ajal sudah semakin dekat dengannya.

"Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila mati seorang anak Adam, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain, lalu diamalkan, dan doa seorang anak yang soleh." Amin menyebutkan mahfum sebuah hadis shahih yang dihafal olehnya.

 
"Di dunia inilah saja tempat kita beramal. Selepas kehidupan ini, tidak ada lagi amalan yang kita boleh lakukan untuk bekalan kita menuju akhirat. Kita hidup di dunia ini bukan suka-suka, tapi ada tujuannya. Untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Hidup kita ini umpama sebuah perjalanan jauh yang melalui beberapa persinggahan." Pak Man meluahkan kata-kata renungan dan nasihat. "Sekarang ini, kita sedang berada di dunia. Salah satu daripada persinggahan untuk mengumpul bekalan dalam menempuh perjalanan yang cukup jauh. Amat jauh. Apabila kita telah pergi perhentian seterusnya, maka tiada cara lagi untuk berundur semula."

Amin dan Aziz mendengar dengan teliti, cuba menyelami dan menghayati pengertian yang tersurat dan tersirat dalam ucapan Pak Man.

"Kalau kita tidak menggunakan peluang yang kita ada ini dengan sebaik-baiknnya, maka akan rugilah kita. Benar-benar akan rugi." Pak Mata menambah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Aziz dan Amin diam mendengar kata-kata itu. Pak Man sememangnya seorang yang banyak fikir dan banyak hikmah. Sesuai dengan usianya yang sudah semakin lanjut. Aziz dan Aimin masing-masing merenung diri. Adakah mereka termasuk di kalangan orang yang lalai yang disebutkan Pak Man. Lupa kepada kematian dan leka dengan dunia.

"Pak Man ini sudah semakin tua..." Keluh Pak Man, tetapi dia tidak menghabiskan kata-katanya. Suaranya kedengaran sebak. Dia terdiam, tidak sanggup untuk meneruskan ucapannya. Terasa berat.


 "Ajal manusia itu tidak tentu Pak Man. Tiada siapa yang tahu bila ajal akan menjemput. Muda atau tua bukan penentunya. Bayi dalam kandungan pun boleh meninggal." Kata Amin sebagai peringatan bersama.

"Ya, betul juga." Pak Man mengangkat wajahnya memandang ke langit yang kebiru-biruan. "Hidup di dunia ini, kita tidak boleh leka. Sebagaimana kita buat persiapan untuk dunia kita pada esok hari, maka sebegitulah juga kita perlu berusaha untuk akhirat kita seandainya kita mati esok."

"Sebagaimana kata Rasulullah s.a.w, berusahalah untuk dunia kamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya, dan berusahalah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok." Aziz menyebutkan sebuah hadis.

"Eh, Aziz, itu bukan hadis Nabi s.a.w lah!" Amin berkata pantas.

"Oh, betulkah?" Aziz mengerut dahi. Ini kali pertama dia mendengar orang menafikan apa yang disebutkannya tadi adalah hadis. "Tapi kenapa banyak orang cakap macam tu?"

"Banyak orang cakap tak semestinya betul. Perkataan itu memang terkenal dalam masyarakat, tapi ianya bukan hadis Nabi s.a.w. Syeikh Al-Albani menyebutkan ianya tidak mempunyai asal, yakni hadis palsu dalam kitabnya, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah!" Jelas Amin dengan yakin. "Hadis palsu tu maksudnya hadis yang direka-reka lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta." 

           S
yeikh Al-Albani adalah seorang ulama hadis kontemporari yang berasal daripada Albania. Beliau lahir pada tahun 1914 dan meninggal dunia pada tahun 1999. Pernah menjadi tenaga pengajar dalam bidang hadis di Universiti Islam Madinah selama tiga tahun, ketua Dirasah Islamiyah dan Fakulti Pasca Sarjana di sebuah perguruan tinggi di Jordan. Beliau telah mendapat anugerah penghargaan tertinggi daripada Arab Saudi atas jasa-jasanya berupa King Faisal Foundation. Beliau mempunyai banyak karya yang bermanfaat kepada umat Islam, seperti Silsilah Ahadith Ash-Shahihah, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah, Tamam Al-Minnah Fi At-Ta'liq 'Ala Fiqhus Sunnah dan banyak lagi.

"Owh, jadi hadis palsu ni tak boleh gunakan?"

"Ya." Jawab Amin. "Nabi Muhammad s.a.w mengancam, barang siapa yang berdusta atas nama baginda s.a.w dengan sengaja, maka dia telah menyediakan tempat duduk bagi dirinya dalam Neraka!"

Aziz menelan air liur mendengar kata-kata Amin. Terkejut.

"Jadi, macam mana dengan aku?" Tanya Aziz dengan nada yang bimbang.

"Dulu kau tak tahu, tak apalah. Sekarang kau dah tahu, janganlah gunakan kata-kata tu lagi. Kalau kau guna pun, jangan katakan ianya adalah hadis daripada Rasulullah s.a.w." Amin cuba menenangkan kebimbangan jelas tergambar di wajah Aziz.

Aziz menarik nafas lega mendengar pernyataan tersebut. Pak Man tersenyum mendengar perbualan Amin dan Aziz. Kepandaian dan kecerdasan anak muda yang bernama Amin itu cukup mengagumkannya. Meskipun baru berumur 20 tahun lebih, tetapi dia mempunyai pengetahuan yang baik dalam agama. Pak Man, Amin dan Aziz sudah semakin jauh meninggalkan perkuburan. Sepanjang perjalananm balik ke rumah masing-masing, mata mereka disajikan dengan kehijauan yang menyenangkan mata.

"Setiap yang hidup pasti akan merasai mati..." (Surah Al-Anbiya': 35)

U

Satu Bicara Tentang Wanita.

Penulis: Suhili bin Nain. 


Hujan lebat sedang membasahi bumi. Membersihkan kekotoran dan debu pada dedaunan yang menghijau. Menyuburkan tanah yang kekeringan dan tandus. Kelihatan beberapa mahasiswa dalam keadaan basah, sedang berlari-lari meredah hujan tersebut.

            Aku dengan Stacy sedang duduk di salah sebuah meja dalam kafeteria sambil melayari internet. Pada masa yang sama, sambil menunggu hujan redha sebelum kembali ke asrama pelajar. Aku menekan papan kekunci komputer. Melayari laman sosial Facebook.

            Kelihatan beberapa komen yang berkaitan isu poligami sedang tercatat di dinding catatan salah seorang kenalanku di laman sosial Facebook. Ku amati apa yang ditulisnya, cuba mengambil manfaat daripadanya.


           Stacy yang sedang duduk begitu rapat disebelahku pula memerhati, sambil menikmati minuman coklat panas dan beberapa keping biskut Chipmore.

            "Tidakkah kamu fikir bahawa Islam itu menzalimi wanita?" Soal Stacy secara tiba-tiba. Aku terkejut mendengar soalan itu. Mungkin dia terlihat tulisan rakan ku di Facebook itu. Aku diam seketika mendengar soalan itu. Soalan yang menguji iman. Bagi sesetengah orang yang kurang pengetahuan, soalan tersebut mungkin boleh membuatnya gelabah.

            "Tidaklah. Saya tidak rasa dizalimi pun." Aku menafikan dengan tenang tanggapan disebalik soalan Stacy. Sebagai seorang wanita muslimah, bagiku Islam bukanlah agama yang menindas wanita. Islam adalah agama yang membela dan memuliakan darjat kaum wanita. Aku merasa selamat memilih Islam sebagai agamaku.

"Okeylah." Kata Stacy mengiyakan pandanganku. Tapi aku dapat rasakan disebalik kata-kata ini, masih tersembunyi ketidak puasan hati. Akan ada soalan seterusnya yang menyusul.

"Mengapa dalam Islam, lelaki dibenarkan untuk berpoligami, sedangkan perempuan tidak dibenarkan untuk berbuat demikian? Bukankah ini sesuatu tidak adil ke atas wanita?"

Jangkaan ku tepat. Soalan tadi tidak berhenti di situ, Stacy masih menyoal soalan yang menduga  keyakinanku terhadap Islam. Stacy adalah seorang gadis non-muslim yang berfikiran terbuka. Meskipun dia seorang yang beragama Kristian, tetapi sekiranya dilihat daripada segi pemikirannya, dia sebenarnya sudah semakin jauh daripada ajaran Kristian itu sendiri. Aku mengenalinya ketika pensyarah mengarahkan kami untuk menyiapkan satu kertas kerja bersama-sama. Daripada perkenalan yang singkat itu, aku dapat fahami fikirannya kelihatan dipengaruhi dan cenderung kepada fahaman feminisme.

         Gerakan fahaman feminisme bukanlah sesuatu yang baru pada masa kini. Ianya sudah wujud bertahun yang lama. Gerakan ini berhasrat untuk memperjuangkan hak wanita dan menuntut kesamaan status sosial, politik dan ekonomi antara lelaki dan wanita dengan cara yang tidak sepatutnya. Apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya tanpa feminisme sekali pun, kedudukan orang wanita sudah cukup terbela dengan Islam. Islam telah mengangkat martabat wanita dan menjaga wanita dengan sebaiknya.


  "Jadi, maksud kamu, yang adilnya adalah apabila lelaki hanya dibenarkan berkahwin satu sahaja, atau pun perempuan juga dibenarkan melakukan poliandri, begitu?" Aku cuba mengagak tujuan disebalik soalan Stacy tadi. Poliandri adalah lawan kepada poligami, iaitu seorang isteri yang mempunyai lebih daripada seorang suami.

"Ya!" Stacy tersenyum mendengar soalan balas yang ku ajukan kepadanya.

"Kalau begitulah pandangan kamu, sebenarnya kamu telah berlaku zalim." Aku cuba menyanggah pandangan Stacy.

"Eh, mengapa pula?" Stacy terkesima. "Adakah kamu ingin beralasan bahawa nisbah lelaki lebih sedikit daripada perempuan?"

"Itu salah satunya." Jawabku ringkas.

"Kalau kamu gunakan itu sebagai alasan semata-mata, maka hujah kamu adalah tidak kukuh. Ini kerana, tidak semua tempat di dunia ini jumlah lelaki lebih sedikit daripada wanita." Jelas Stacy dengan bangga. Dia kelihatan begitu yakin dapat melemahkan peganganku. "Berdasarkan statistik yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan dalam Utusan Malaysia tahun lalu, jumlah lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan dengan nisbah 105:100!"

          "Ya, itu saya tahu. Saya pernah membacanya di laman web Utusan Malaysia." Jawabku bersahaja. Kata-kata Stacy itu, sedikit pun tidak membuatkan aku berasa, kerana aku mempunyai alasan yang lain.

           "Stacy, kamu kena faham satu perkara." Aku mula membantah apa yang diutarakan oleh Stacy. "Walaupun jumlah lelaki di Malaysia lebih ramai, itu tidak memberi makna apa-apa sebenarnya. Realiti menunjukkan, tidak semua lelaki yang berjumlah ramai itu, boleh bertanggungjawab kepada wanita dan keluarga apabila mereka berkahwin."

           "Okey, teruskan kata-kata kamu. Ianya kelihatan menarik." Stacy tersenyum. Dahinya berkerut sedikit, dia cuba memberikan tumpuan terhadap apa yang aku sampaikan.

         "Berdasarkan statistik yang bersumber daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, daripada tahun 2000 hingga 2008, jumlah penagih perempuan dan lelaki adalah pada nisbah 1:55." Aku menunjukkan statistik yang terpapar di skrin komputer.

           "Itu belum termasuk lagi jumlah lelaki yang terlibat dengan gejala tidak sihat, dadah, lumba haram, seks bebas, arak dan sebagainya. Yang pastinya ramai wanita yang tidak ingin bersuamikan lelaki sedemikan rupa. Apabila semua itu ditolak, maka akan tinggal sedikitlah lelaki yang layak dan sesuai untuk dijadikan suami."

"Pada pandangan kamu, adakah ketika itu sistem lelaki berkahwin satu sahaja sesuai untuk diamalkan? Adakah kamu sanggup membiarkan perempuan-perempuan tidak berkahwin terus membujang sehingga lewat usia, atau pun lebih teruk terjatuh ke dalam gejala tidak sihat seperti lesbian?" Aku mengajukan soalan bertubi-tubi. "Pada pandangan saya, amalan monogami sebenarnya zalim, kerana mementingkan diri sendiri."

 
Melihat Stacy hanya diam tidak bersuara. Aku terus menyambung kata-kataku berkenaan amalan poliandri bagi wanita.

"Manakala tentang amalan poliandri pula, ianya adalah sesuatu yang amat tidak sesuai sekali. Sistem biologi wanita adalah berbeza dengan orang lelaki. Apabila seseorang wanita itu hamil dan dia mempunyai lebih daripada seorang suami, akan timbul persoalan yang membingungkan. Anak siapakah yang dikandungkannya? Adakah anak daripada benih suami yang pertama, kedua atau pun ketiga? Ini pastinya membingungkan keadaan. Walaupun pada masa kini, kita boleh mengetahui siapakah ayah yang sebenar kepada kandungan tersebut, tapi tidak semua orang boleh melakukan pemeriksaan DNA, tidak semua tempat di dunia ini memiliki teknologi DNA."

"Berbeza dengan lelaki, meskipun mereka mempunyai ramai isteri, apabila salah seorang daripada isterinya hamil, kita dapat memastikan bahawa ianya adalah anak daripada lelaki tersebut. Oleh itu, menyamakan wanita dan lelaki dalam hal berkahwin lebih daripada satu, adalah sesuatu yang keliru sama sekali."

Stacy menghela nafas panjang. Badannya perlahan-lahan disandarkan dikerusi yang didudukinya. Dia hanya mengangguk kecil tanda mengalah terhadap apa yang ku katakan.

"Kamu tak kisahkah kalau suatu hari nanti suami kamu berpoligami?" Stacy cuba mendugaku.

"Insya' Allah, saya sedia menerimanya." Kataku tanpa ragu-ragu. Aku sememangnya sudah bersedia daripada awal sekiranya suatu hari nanti aku berkahwin, lalu suamiku bercadang untuk berpoligami. Sesungguhnya poligami itu adalah perkara yang halal dan diredhai Allah s.w.t. Maka apakah patut aku marah terhadap perkara yang Allah s.w.t redhai?

Tidak dinafikan mungkin suatu ketika perasaan sedih dan kecewa itu akan ada, kerana aku juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan fitrah. Insya' Allah, aku akan mampu menghadapi semua itu. Aku ingin mencontohi para isteri Rasululallh s.a.w yang mulia dan tabah. Apa yang penting bagiku, adalah suamiku nanti mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya.

"Sebenarnya di dalam Islam, poligami bukanlah semudah yang disangka." Aku cuba menjelaskan kepada Stacy. Ini kerana, biasanya orang bukan Islam menolak ajaran Islam adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap Islam itu sendiri.

"Maksud kamu?" Tanya Stacy dengan nada ingin tahu.

"Meskipun orang lelaki diharuskan untuk berpoligami dalam ajaran Islam, tetapi ianya bukan sesuatu perkara boleh dilakukan secara mudah dan suka-suka. Ianya mempunyai syarat dan garis panduan tanggungjawab yang perlu dipatuhi."

"Contohnya kemampuan dalam memberikan nafkah kepada isteri dan kemampuan untuk bersikap adil kepada isteri-isterinya. Apabila seseorang lelaki itu dapat mematuhi syarat-syarat tersebut, maka dia tidak ada masalah baginya untuk berpoligami. Silakan." Ucapku dengan tenang. Perlahan-lahan aku menghirup minuman coklat panas yang tersedia di atas meja.
 
"Kalau seorang lelaki itu tidak dapat mematuhi tanggungjawab sebagai seorang yang berpoligami, contohnya tidak bersikap adil kepada isterinya bagaimana?" Stacy bertanya lagi.

"Sekiranya seorang lelaki itu menzalimi isterinya dengan tidak berlaku adil atau sebagainya, maka Allah s.w.t akan murka kepadanya serta menyediakan azab yang berat baginya pada hari akhirat kelak!"

"Owh, macam tu..." Kata Stacy dengan nada yang baru tahu. "Saya minta maaf ya tanya soalan macam tu tadi."

"Tak apa, saya faham." Aku tersenyum lega mendengar kata-katanya. Stacy turut senyum sama.

"Kalau saya ada persoalan tentang Islam, boleh tak saya tanya dengan kamu lagi?" Pinta Stacy.

"Insya' Allah, tak ada masalah. Saya akan cuba jawab semampu saya. Kalau saya tidak tahu, saya akan tanya dengan orang yang lebih arif pula!" Hatiku gembira mendengar pertanyaan Stacy. Ini adalah sesuatu yang amat baik, kerana ianya aku peluang untuk aku memperkenalkan Islam kepada Stacy dengan lebih dekat dan seterusnya menarik minatnya untuk memilih Islam sebagai agamanya.

Masa terus berlalu. Semenjak itu kami sering berbual tentang Islam, dan semakin lama aku dapat melihat Stacy semakin tertarik dengan Islam. Suatu hari setelah lama berpisah, aku mendapat tahu daripada seorang sahabat lama bahawa Stacy telah memeluk agama Islam. Alhamdulillah, aku amat bersyukur pada Allah s.w.t mendengar khabar tersebut.
 
U

Belajar Dengan Syaitan?

Penulis: Suhili bin Nain. 


Burung-burung berkicauan riang. Awanan putih yang bertompok-tompok di langit berarak perlahan. Sang suria memancarkan cahaya menerangi langit kampung Menawo, Keningau. Seperti biasa, suasana di dalam salah sebuah kelas di Pusat Latihan Dakwah Keningau, riuh rendah sedikit. Ketika itu pensyarah yang bertanggungjawab mengajar kami sedang sakit – semoga Allah memberinya kesembuhan – , maka kami pun melakukan hal masing-masing. Aku membuka zip begku, lalu mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk, 'Cukupkah Sekadar Niat?' karya Mohammad Hairi bin Nonchi, seorang graduan daripada Universiti Malaysia Sabah.

            Selepas selesai membaca satu muka surat, aku beralih ke muka surat lainnya. Mataku tertumpu pada perkataan dan ayat yantg tertulis di lembaran kertas tersebut. Aku adalah seorang yang suka membaca, setiap kali ada masa lapang aku pasti membaca buku. Setiap bulan aku akan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku, untuk dibaca. Hidup ku dengan membaca dan buku sudah tidak dapat dipisahkan. Sehari tidak membaca buku, aku akan merasa kekurangan. Apatah lagi dalam masa semingggu.

            Sedang aku menumpukan perhatian, membaca apa yang tertulis pada muka surat buku tersebut. Tiba-tiba Faiz yang duduk disebelahku bersuara. 

"Belajar tu, jangan asyik baca buku saja, bertanyalah juga dengan guru!"

"Kalau belajar tanpa guru, nanti belajar dengan syaitan!" Tambah Amar yang duduk dibelakangku.

Aku sudah biasa mendengar orang menegurku sebegitu. Ini bukan kali yang pertama. Entah buat kali yang ke berapa, aku sudah lupa, kerana aku sendiri tidak menghitungnya.

"Ya, jangan risau. Bukankah selama ini kita belajar bersama-sama di dalam kelas ni?" Aku menjawab teguran Faiz dan Amar. 

Aku bukanlah menafikan kata-kata mereka berdua secara seratus peratus. Apa yang mereka ucapkan itu ada benarnya juga. Belajar itu sememangnya perlu berguru. Sangat mustahil bagi seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu, tetapi tanpa berguru. Selama ini pun, aku belajar agama bukannya secara sendiri, melainkan aku berguru. Tapi, tidak perlulah aku sibuk untuk menghebohkan atau menyebutkan satu persatu nama guru-guruku kepada mereka. Kebanyakan manusia sememangnya suka bercakap mengikut suka hatinya tanpa berfikir panjang.

Hari ini segelintir orang yang berpandangan sempit, telah membataskan pengertian belajar. Bagi mereka belajar yang sebenarnya hanyalah belajar dihadapan guru sahaja. Apabila mereka melihat seseorang yang asyik membaca buku, mereka akan berkata kepadanya "Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!". 

Aku merasa tidak keterlaluan, sekiranya aku beranggapan, orang yang berkata begitu sebenarnya, adalah orang yang diserang penyakit malas. Malas membaca, menelaah dan mengkaji. Kata-kata 'barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!' tidak lain hanyalah slogan kosong untuk dijadikan alasan bagi sikap mereka yang malas membaca. Mereka lupa bahawa para ulama dahulu adalah orang yang kuat membaca kitab, beribu dan berjilid-jilid kitab mereka telaah. Adakah semua kitab itu mereka baca daripada lembaran ke lembaran didepan gurunya? Jawapannya sudah tentu tidak.


Namun begitu, walaupun suka membaca, jangan pula kita lupa untuk belajar secara berhadapan dengan guru agama yang diiktiraf keilmuaannya, berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah di atas fahaman Salafus Soleh. Kita perlu bijaksana dalam mengimbanginya. Itulah peganganku dalam menuntut ilmu.

"Kalau belajar tanpa guru adalah belajar dengan syaitan, maksudnya kalau kita belajar dengan guru, kita belajar dengan malaikat? Begitukah?" Aku menyoal Faiz dan Amar dengan nada berjenaka. Secara logiknya, sekiranya kita terbalikkan kata-kata Amar tadi, maka begitulah maknanya.

Faiz dan Amar terkejut dengan kenyataanku. Mungkin tersedar bahawa, kata-kata mereka tadi ada silapnya. 

"Sebenarnya kata-kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan" itu daripada mana datangnya?" Sebelum mereka sempat menjawab soalan yang ku ajukan tadi, soalan seterusnya menyusul. "Adakah ianya hadis Rasulullah s.a.w atau pun kata-kata manusia yang tidak terpelihara?"

"Entah, aku pun tak tahu!" kata Amar selamba. "Tapi banyak orang cakap macam tu aku dengar!"

Amar cuba mengukuhkan kata-katanya dengan menjadikan kata-kata orang ramai sebagai sokongan. Faiz pula hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

"Yalah, memang banyak orang cakap macam tu. Aku pun pernah dengar juga. Tapi, itu tidak menjadi petanda apa yang orang cakapkan itu adalah benar!" Aku membantah kata-kata Amar. Raut wajahnya mula berubah, dia memang pantang dibantah.

"Pada pandangan aku kita perlu nilai semula kata-kata itu." Aku menutup buku ditanganku, lalu memasukkannya ke dalam meja. Amar dan Faiz saling berpandangan antara satu sama lain.

"Belajar dengan guru tidaklah menjamin, bahawa setiap apa yang dipelajari oleh seseorang itu pasti benar seratus peratus. Ini kerana, guru tempat kita belajar itu bukanlah nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada silap dan salah! Mereka juga manusia biasa, mereka boleh tersilap dan tersalah. Begitu juga dengan kita."

"Bila kita lihat secara realitinya, ada di antara manusia itu, walaupun dia belajar secara berguru, tapi dia tetap termasuk ke dalam golongan orang yang tersesat. Ini kerana, guru tempat dia belajar itu rupanya adalah orang yang sesat!" Aku menambah lagi.

Sedang aku, Faiz dan Amar bertukar fikiran, rakan-rakan yang berada disekeliling kami mula menghampiri. Rakan-rakanku memang pantang melihat perbincangan agama, pasti mereka ingin turut serta, sama ada dengan menyumbangkan pandangan atau mendengar dengan penuh perhatian.

"Betul juga tu! Aku setuju!" Faizal menyampuk.

Amar mengerling Faizal, raut wajahnya menunjukkan dia tidak berpuas hati. Faizal cuba membalas pandangan Amar dengan senyuman yang tidak bersalah.

"Yalah. Betul juga kau cakap tu!" Akhirnya Amar mengalah. Dia tidak dapat menafikan kebenaran kata-kataku. "Memang belajar dengan guru itu tidak menjamin apa yang kita pelajari benar seratus-peratus. Tapi kita perlu faham, kalau kita belajar dengan guru, bukankah lebih bermanfaat. Malah langkah pembelajaran kita pun akan menjadi lebih mudah. Mungkin ada penjelasan yang tidak dinyatakan di dalam buku, tapi guru kita mengetahuinya!"

Aku diam seketika. Berfikir.

"Ya, aku setuju. Memang tidak boleh dinafikan belajar dengan guru itu mempunyai manfaat dan kelebihannya yang tersendiri, yang ianya tidak ada pada orang yang belajar dengan asyik membaca buku."

"Cuma yang aku tidak setuju, bila kau kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan", sebab kata-kata kau tadi tu seolah-olah menghalang orang daripada membaca dan mengkaji daripada buku-buku, dan hanya mencukupkan diri dengan belajar secara berdepan dengan guru." Setelah menjelaskan persamaan pandangan antara aku dengan Amar, aku pun menjelaskan titik perbezaan pandangan antara kami. 

"Ulama dahulu pun belajar berguru juga, tapi pada masa yang sama mereka tidak meminggirkan pembacaan daripada kitab-kitab. Para ulama dahulu terdiri daripada pencinta buku. Mereka membaca beribu-ribu jilid kitab dan risalah. Perkara ini kita boleh lihat dalam kitab, Kaifa Tatahammas li Thalibil 'Ilmisy Syar'i karya Syaikh Abul Qa'qa Muhammad bin Shaleh, yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu dengan tajuk Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu." 

"Apa yang penting sebenarnya, kita seimbangkan. Kita belajar dengan guru, kita juga membaca buku. Apabila tidak faham kita berbincanglah dengan guru, atau sesama penuntut ilmu."

Faiz dan Amar hanya senyum mendengar kata-kataku. Rakan-rakan yang lain bergegas kembali ke tempat masing-masing, kerana kelihatan Ustaz Amri yang akan mengajar kami subjek Usul Feqh sebentar lagi, sudah pun berada diluar kelas. Sejurus selepas itu Ustaz Amri pun masuk ke kelas, dan sesi pembelajaran bagi subjek Usul Feqh pun bermula.


Penulis:

"Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!"

Ada segelintir orang menyangka bahawa kata-kata ini adalah hadis Rasulullah s.a.w, tetapi hakikatnya kata-kata sebegini tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w secara shahih.

Kisah di atas adalah rekaan semata-mata. Ianya tiada kaitan, sama ada dengan yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Semoga ianya dapat dijadikan renungan dan memberikan manfaat yang berguna kepada diri saya dan para pembaca sekalian.
Y

Bukan Jalan Karpet Merah.

Penulis: Suhili bin Nain.


Wajah Arif kelihatan sugul dan muram. Tidak ceria seperti selalu, manis dengan senyuman, bersemangat dalam setiap ucapannya. Pandangannya yang selalunya kelihatan teguh kini hanya terlihat lemah. Nampaknya dia sedang memikul beban yang cukup berat dalam jiwanya. Beban perasaan yang mengusir sifat cerianya. Beban yang membuatkan dia berasa derita. Tertekan.

            "Kau ada apa-apa masalah kah?" Tanya ku dengan nada suara ingin tahu.

            Tadi Arif yang menghubungi ku melalui SMS. Katanya ingin berjumpa di tempat Restoran Impian Rasa. Ada perkara penting yang ingin dibincangkannya. Namun begitu, sudah beberapa minit berlalu. Teh tarik di atas meja, yang dipesannya tadi masih belum terusik.

            "Ah, aku rasa berat sangat." Keluh Arif. Suara Arif kedengaran mendatar, dibayangi kekecewaan. "Aku tak tahulah macam mana nak hadapi semua ini."

            "Kenapa kau putus cinta kah? Hehehe..." Tanya ku sambil ketawa kecil. Sebenarnya Arif tidak ada kekasih atau teman wanita, tapi aku sengaja berjenaka bertanya soalan sedemikian rupa. Arif tiada teman wanita bukan kerana dia tiada peminat atau tidak laku. Ada. Setakat ini sudah ada beberapa orang perempuan meluahkan perasaan cinta kepadanya, tetapi semuanya ditolak atas alasan ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itulah tanggungjawab seorang pelajar. Lagipun tidak lama lagi, Arif bakal menduduki peperiksaan STPM.

            "Eh, tak adalah." Sanggah Arif. "Bila masa aku bercinta. Tak pernah-pernah pun."

            "Habis tu, kalau bukan putus cinta, apa masalah yang berat sangat kau cakap tu." Aku cuba mengorek rahsia sebab dia bermuram semenjak tadi. "Cuba kau luahkan kepada aku. Mana tahu aku boleh tolong kau."

            "Macam ni," Arif mengatur pernafasannya. "Aku cuba sampaikan di kampung aku, tentang apa yang kita belajar daripada Ustaz Fakhruddin. Mengenai adat yang bercanggah dengan agama, kenduri arwah, amalan timbang anak yang lahir pada bulan safar, menggantung tangkal dan sebagainya."

            "Tapi masalahnya, bila aku cuba sampaikan kepada mereka tentang perkara ini, mereka tolak kata-kata aku. Mereka kata aku ni, masih muda, belum banyak makan garam, dan macam-macam lagi."

            Aku cuba memberikan sepenuh perhatian kepada kata-kata Arif.

            "Lebih malang lagi, bukan setakat penduduk kampung, dan jiran-jiran aku yang tolak. Keluarga aku sendiri pun tidak percaya dengan aku, melainkan abang aku seorang saja." Kata Arif dengan nada kecewa.

            Kampung Selayang, tempat tinggal Arif sememangnya cukup terkenal dengan kekuatan adat resamnya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Kebanyakan penduduknya kuat berpegang teguh dengan adat. Bak kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat. Oleh itu, apabila Arif cuba menjelaskan kepada orang di sekelilingnya tentang adat-adat mereka yang bercanggah dengan syariat Islam, maka mereka menolak perkataannya. Apatah lagi, Arif cuma seorang anak muda yang masih belajar dalam tingkatan 6. Tidak mudah bagi orang kampung untuk mempercayainya.

            "Macam tu, apa diorang kata lagi?"

            "Banyak. Aku dengar orang mengumpat aku. Orang cakap aku ni memandai-mandai nak cakap perkara agama, lupa asal-usul bangsa la." Luah Arif lagi. "Hati mana yang tak berat dikata macam tu…"

            Arif mencapai teh tarik yang semakin sejuk di atas meja, dihirupnya perlahan-lahan. Sekali sekala dia menarik nafas yang bernada keluhan.

            Aku terdiam mendengar luahannya. Cuba berfikir apa yang patut ku cakapkan kepadanya. Sememangnya perkara yang menimpanya bukanlah semudah di anggap. Meskipun orang disekelilingnya tidak memukulnya, tapi kata-kata orang itu sebenarnya sering kali lebih menyakitkan daripada pukulan. Bak kata pepatah, tikaman lidah itu lebih tajam daripada tikaman pisau. Tikaman pisau, akibatnya berdarah jasad, sedangkan tikaman lidah, hati merana.

            "Biasalah tu Arif." Aku cuba memberikan semangat kepadanya. "Tidak mudah untuk orang terima apa yang kita kata. Lebih-lebih lagi dengan usia kita yang muda macam ini. Begitu ramai orang yang akan pertikai apa yang kita sampaikan."

            Arif mengangguk tanda mengiyakan kata-kata ku, lalu bersuara, "Ya, aku faham. Kebanyakan orang zaman sekarang suka sangat melihat siapa yang berkata-kata untuk menilai ucapannya. Kalau orang tua bercakap semuanya 'ya', bimbang dikatakan derhaka. Sebaliknya, kalau orang muda pula yang berkata, hampir semuanya tidak mahu di dengar!"

            "Begitulah silapnya masyarakat sekarang. Terlalu bersikap berat sebelah." Aku mengkritik sikap sesetengah orang dalam masyarakat yang suka menolak dan menerima kata-kata orang tanpa usul periksa. Mereka cuma mendengar kata-kata orang tua, sedangkan kata-kata orang muda dipandang sebelah mata saja.

            "Inilah tabiat jalan dakwah ya Arif." Aku berkata lagi. "Jalan dakwah bukanlah seperti apa yang kita sangka. Ianya bukan jalan yang mudah dan senang. Bukan pula seperti jalan di karpert merah yang ditaburi bunga-bungaan, yang disambut oleh ramai orang dengan sorakan. Tapi inilah jalan para nabi dan rasul. Jalan yang penuh ujian dan dugaan."
            Arif tersenyum mendengar kata-kataku. Kekecewaan dan kesugulan pada wajahnya hilang sedikit demi sedikit.

            Aku menambah lagi, "Dahulu Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat mendapat ujian yang lebih teruk daripada kita. Kalau kita hari ini cuma ditentang dengan kata-kata. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat dahulu, bukan setakat ditentang dengan kata-kata, malah musuh-musuh mereka menghunus senjata. Ahli keluarga sendiri, sanggup dibunuh, asalkan Islam dapat dihapuskan!"

            "Kebanyakan ketua penentang dakwah Rasulullah s.a.w terdiri daripada ahli keluarga baginda s.a.w sendiri. Abu Jahal pernah suatu ketika memberikan tawaran yang amat lumayan bagi sesiapa yang dapat membunuh Rasulullah s.a.w!"

            Aku cuba memberikan perbandingan antara ujian, tentangan dan dugaan yang kami hadapi dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat ketika zaman awal permulaan Islam. Cukup jauh berbeza. Umpama langit dan bumi.

            "Benarlah kata mu ya sahabat!"

            "Bersabarlah Arif." Nasihatku agar dia bertahan dengan apa yang dilaluinya. "Mungkin sekarang ini, mereka tidak dapat terima apa yang kau sampaikan kepada mereka. Tapi, insya' Allah pada masa depan akan ada antara mereka yang dapat terima kata-kata kau tu."

            Untuk menghadapi jalan dakwah dan menyebarkan Islam yang murni, bukanlah mampu diraih dengan bersenang-lenang. Seseorang yang hendak menceburi dakwah perlulah mempersiapkan diri daripada segi mental yang kuat dan positif. Dakwah bukanlah tugas orang lemah, tapi ianya memerlukan kekuatan jiwa.

            "Saya cadangkan dalam tempoh ini, kamu kurangkan sedikit seruan kamu. Tapi jangan sampai terhenti sama sekali. Dalam berdakwah ini, kita perlu berhikmah, bijak dan mempunyai strategi." Aku memberikan cadangan.

            "Apa kata kalau kamu cuba ajak rakan-rakan sebaya kamu atau yang hampir dengan kamu supaya turut serta dalam kuliah Ustaz Fakhruddin nanti? Daripada situ mereka akan belajar sendiri. Lama-lama nanti, akan ramai juga mereka yang faham agama di kampung kamu."

            "Bagus juga cadangan kamu tu." Kata Arif, gembira mendengar cadanganku. "Mungkin saya akan bawa abang saya nanti dan ada dua orang lagi sepupu saya untuk ikuti kuliah Ustaz Fakhruddin di rumahnya. Lagipun mereka nampak mudah terima apa yang saya sampaikan!"

            Hatiku lega melihat senyuman yang terukir dibibir Arif. Nampaknya dia sudah ceria seperti biasa. Sebenarnya Arif bukan tidak tahu tentang apa yang ku sampaikannya sebentar tadi. Dia juga tahu. Namun, sudah lumrah manusia adakalanya dia memerlukan orang lain untuk menasihati dirinya. Orang yang dimintai nasihatnya pula, wajib ke atasnya untuk memberikan nasihat kepada orang yang meminta nasihat semampunya.

            "Assalamu'alaikum!" 

            Tiba-tiba terdengar suatu suara menghentikan perbuatan antara aku dengan Arif. Seorang lelaki separuh usia sedang berjalan menghampiri kami dengan senyuman mesra. Wajahnya putih berseri, pakaian kemas dengan kopiah putih dikepalanya. Ustaz Fakhruddin. Ustaz Fakhruddin pun menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan.

            "Wa'alaikumsalam ustaz!" Jawab ku dan Arif serentak, lantas menyambut tangan yang dihulurkan oleh Ustaz Fakhruddin.

            "Apa ustaz buat di sini?" Tanya Arif.

            "Oh, ustaz baru balik daripada kerja tadi. Ustaz fikir nak singgah beli barang dekat Pasar Raya Lintas tadi." Jelas Ustaz Fakhruddin.

            "Kamu pula buat apa dekat sini berdua?" Giliran Ustaz Fakhruddin pula bertanya. "Nampak rancak perbualan kamu tadi! Ada perkara menarikkah?"

            "Eh, tak adalah. Biasa saja. Kami cuma berbual tentang keadaan dakwah di kampung Selayang tempat Arif tinggal!" Jawabku ringkas sambil mempersilakan Ustaz Fakhruddin duduk dikerusi yang berada bersebelahan denganku.

            "Oh, mengapa dengan kampung Arif. Ada masalahkah?" Ustaz Fakhruddin dengan nada ingin tahu.

            Seorang pelayan mendekati meja tempat kami berada untuk mengambil pesanan, lalu beredar. Aku dan Arif pun menceritakan tentang perkara yang kami bualkan sebentar tadi kepada Ustaz Fakhruddin. Ustaz Fakhruddin kelihatan gembira mendengarnya.

            "Bagus Arif!" Puji Ustaz Fakhruddin. Dia kagum dengan semangat Arif untuk menyebarkan pengetahuan dan penghayatan Islam di kampungnya.

            "Sekarang ini tidak ramai orang Islam yang berminat dan cuba untuk mendalami Islam. Kebanyakan umat Islam yang berada diperkampungan, mereka sukar untuk membezakan yang mana satu adat, dan mana satu pula syariat. Mereka keliru. Ada di antara mereka yang berfikir adat yang mereka amalkan selama ini adalah syariat juga." Ustaz Fakhruddin menambah lagi.

            "Ya, macam tu lah ustaz!" Kata-kata Ustaz Fakhruddin dibenarkan oleh Arif. "Mereka membela dan mempertahankan adat, seolah-olah syariat itu adalah agama. Mereka memandang orang yang cuba mengubah adat itu adalah seperti orang yang cuba mengubah agama!"

            "Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Masyarakat perlu disedarkan syariat Islam yang sebenarnya. Bukannya Islam yang ditokok-tambah dengan perkara-perkara yang baru." Aku berkata menyatakan kebimbangan melihat keadaan sesetengah masyarakat yang begitu kuat berpegang dengan adat, meskipun ianya bercanggah dengan Islam.

            Jam sudah menunjukkan jam 6 petang. Aku, Arif dan Ustaz Fakhruddin pun bersurai, memandangkan setengah jam lagi waktu solat fardhu Maghrib akan masuk. Di dalam fikiran kami berfikir dan terus berfikir, usaha yang perlu dilakukan bagi menyebarkan penghayatan Islam yang murni pada orang yang disekeliling kami. Semoga Allah s.w.t akan membantu dakwah ini, sebagaimana yang dijadikannya dalam surah Muhammad, ayat 9, bahawa Dia akan membantu orang-orang beriman yang berjuang untuk menegakkan agama-Nya.


Ayat Al-Qur'an yang digunakan dalam kisah di atas:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad: 7)

Kisah di atas hanyalah rekaan semata-mata. Ianya tiada kaitan sama ada dengan yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia.